Jutaan rakyat Malaysia telah kecewa dengan kekalahan skuad bola sepak negara malam semalam. Ternyata misi Malaysia untuk menentang Singapura dalam pra kelayakan bagi Sukan Olimpik 2014 gagal terlaksana. Biarpun hampir 100 000 rakyat Malaysia telah hadir memberikan sokongan namun sang harimau tetap juga dibaham sang singa.
Banyak pihak hangat membicarakan tentang kekalahan Skuad Harimau Malaya. Menurut mereka, faktor utama kekalahan Malaysia di Stadium Nasional Bukit Jalil semalam adalah kerana sandiwara hebat para pemain Singapura yang cuba melengah-lengahkan masa perlawanan. Namun benarkah itu penyebab utama kekalahan skuad negara ataupun hanya alasan pihak-pihak tertentu yang tidak mahu dipersalahkan atas ketidakupayaan mereka.
Be gentleman lah. Jangan hanya menunding jari ke arah orang lain. Jangan jadikan orang lain sebagai faktor kekalahan kita. Kita harus menilai dan mencari di mana silap kita. Seterusnya memperbaikinya agar kekalahan tidak akan mendampingi kita sekali lagi di masa hadapan. Sikap menyalahkan orang lain tidak akan membawa kita ke mana-mana malah hanya menyebabkan kita terus berada di takuk yang lama.
Wahai rakyat Malaysia, marilah kita bersama-sama menjadikan kekalahan ini sebagai iktibar. Yang harus kita lakukan saat ini adalah memikirkan strategi-strategi yang perlu diambil untuk memastikan skuad negara akan jua memasuki Sukan Olimpik suatu hari nanti. Walaupun bukan Sukan Olimpik 2014 tetapi siapa tahu dengan persediaan dan strategi yang betul, kita bakal layak ke Sukan Olimpik 2018 ataupun ke kejohanan-kejohanan hebat yang lain.
Langkah Memperhebat Skuad Harimau Malaya
Syana bukanlah ahli sukan malah bukan juga pakar dalam bidang ini. Namun selaku rakyat Malaysia, Syana berhak bersuara untuk menyatakan pendapat dan memberikan cadangan.
Jadi cadangan Syana jika Malaysia ingin melahirkan skuad Harimau Malaya yang mantap maka Harimau Malaya seharusnya bersatu. Dilatih, diasah dan disatukan setiap masa di bawah satu jenama iaitu skuad Harimau Malaya.
Maknanya di sini, pemain-pemain dalam skuad Harimau Malaya seharusnya tidak berpecah. Bermain sepenuh masa dengan skuad Harimau Malaya. Tidak perlu lagi bermain untuk pasukan negeri atau kelab. Dengan ini, keserasian yang lebih baik akan boleh boleh dibentuk di kalangan para pemain bola sepak yang mewakili negara.
Tidak kiralah untuk piala Malaysia, piala AFF atau piala apa sekalipun, pemain-pemain negara ini harus menyertainya di bawah pasukan Harimau Malaya. Namun semua ini memerlukan restu semua pihak. Pemain, jurulatih, pengurus dan semua penyokong bola sepak Malaysia harus memberikan sokongan yang tidak berbelah bagi.
Mungkin perkara ini sukar dilakukan secara drastik. Namun ianya tidak mustahil untuk direalisasikan. Jika tidak boleh dilaksanakan untuk skuad Harimau Malaya, kita boleh mulakan dengan Skuad Harimau Muda. Kalau hendak harus ada seribu daya.
Kesimpulannya di sini, kita bukan tidak mampu tapi cuma mungkin masih tidak bertemu dengan strategi yang tepat. Pisau sekalipun walaupun tajam dan pelbagai guna akan tetap tidak berguna jika diguna untuk memotong besi.
Syana bukanlah pakar jadi jika salah mohon ditegur. Hanya memberikan pandangan yang dirasakan betul. Maaf jika ada tersalah bahasa atau menyinggung hati mana-mana pihak.
Majunya sukan sesebuah negara itu juga merupakan salah satu kayu pengukur untuk menguji sejauh mana kemajuan sesebuah negara. Moga sukan Malaysia akan melangkah maju ke hadapan. Wassalam.