Salam ingatan...
Ke hadapan abah yang ku kasihi,
Kasihmu tiada tandingnya.
Sekalipun aku diberi peluang olehNya
Untuk memilih seorang bapa
Dari kalangan berjuta yang lain
Kamu tetap jua yang akan aku pilih
Kerana kamu adalah yang terbaik buatku.
Ke hadapan abah yang ku sayangi,
Terima kasih untuk semuanya.
Tanpa jemu kau mendidikku
Dari sebesar lenganmu dulu
Hinggakan kini aku bergelar remaja
Aku tahu, sepenuh tenaga kau cuba berusaha
Untuk memenuhi setiap kehendakku
Meski kadangkala ianya memberatkanmu
Tapi kau tak pernah sesekali menghampaku
Sesungguhnya maafkan aku.
Ke hadapan abah yang ku sanjungi,
Kau adalah pahlawan terhebat menurutku.
Mungkin kasih antara kita tidak terlihat dek mata
Tapi aku mahu kau tahu
Bahawa aku amat memerlukan kehadiranmu di sisiku
Untuk mengelap setiap titis air mata ini
Di kala ianya gugur membasahi bumi
Untuk menyuluh jalan-jalan di hadapanku
Di kala dunia ku rasakan gelap tanpa sebarang sinar
Ke hadapan satu-satunya abahku,
Selamat Hari Bapa!
Aku sayang kamu selamanya.
No comments:
Post a Comment