Salam ingatan..
Ini merupakan post ke-72 bagi blog Splendid Idea From Intelligentsia (SiFi). Ini bermakna hanya tinggal beberapa post lagi sebelum kita meraikan nukilan ke-75 SiFi. Ya, saya akan meraikan detik itu kerana ia adalah titik tolak kepada perubahan blog ini. Saya mahu mencorakkan SiFi dengan sesuatu yang lebih bermakna lagi di masa akan datang.
Tapi, kenapa mesti sambutan dan perubahan itu dilakukan pada post ke-75. Kenapa tidak tunggu sehingga ke post ke-100 nanti??? Pertamanya kerana saya meminati angka 75 dan keduanya kerana entry ke-100 tu lambat lagi.. Perubahan ke arah kebaikan tidak elok untuk ditangguhkan. Tak apa. Nanti entry ke-100 kita buat sambutan juga ok?? =]
Untuk entry kali ini, saya ingin mengajak kamu semua merenung sejenak situasi-situasi yang mana mungkin kamu tidak sedar yang ianya berlaku dalam kalangan manusia di sekeliling kamu.
SITUASI: ketika bersalam
PENIPUAN PERTAMA
Dia: Pekabar makcik?? (sambil menghulurkan tangan untuk bersalam)
Mak cik : Baik... Sejuknya tangan dia. Demam ke?
Dia: Tak lah. Baru keluar dari air-cond. Tu yang tangan sejuk tu.
PENIPUAN KEDUA
Kawan 1 : Waahh.. Lamanya tak jumpa awak. Sihat ke?? (sambil menghulurkan tangan untuk bersalam)
Dia: Ya lah. Dah hampir 5 tahun tak jumpa ni. (sambil menyambut huluran salam yang diberi)
Kawan 1 : Basah tangan.. Kenapa??
Dia : Gementar. Kan dah lama tak jumpa awak. hehe
Pernahkah kamu menghadapi situasi-situasi seperti di atas?? Tidak kiralah sama ada kamu sebagai Makcik, kawan 1 atau 'dia'. Pernahkan.. Normal situation.
Apabila bersalam dengan rakan atau sesiapa sahaja, kita akan menemui pelbagai gaya bersalam. Dan apabila kita amati dengan lebih lanjut, ada pelbagai keadaan tapak tangan. Ada yang sejuk, ada yang kering, ada yang panas, ada yang lembab dan ada juga yang basah. Tapi tahukah kamu kenapa tangan orang-orang seperti 'dia' sentiasa sejuk dan basah??
'Dia' adalah salah seorang daripada penghidap HIPERHIDROSIS. Kajian terkini mendapati sekitar 2.5% daripada keseluruhan populasi manusia mengidap penyakit ini. Jadi, adakah kita sedar tentang kewujudan penyakit dan pesakit ini??
Hiperhidrosis bukanlah suatu penyakit bahaya seperti kencing manis, strok, sakit jantung dan sebagainya. Tetapi ianya boleh mengundang membahayakan emosi seseorang. Dalam kebayakan kes, pesakit tidak mahu bergaul dengan orang lain malah cuba untuk mengasingkan diri.
Hiperhidrosis lazimnya bermula sejak kecil lagi, yang mana ianya boleh berlarutan seumur hidup tanpa rawatan yang sepatutnya. Menurut pakar perunding bedah kardiotorasik, IJN, Dr. Jeswant Dillon, baik lelaki mahupun perempuan, kedua-duanya dari semua peringkat umur berpontensi untuk mengalami penyakit ini. Namun, mereka selalunya hanya akan sedar tentang penyakit mereka dan rawatan yang diperlukan sewaktu berusia 20-an.
Saya tahu kamu masih kabur tentang penyakit ini lagi bukan??
Secara ringkasnya, hiperhidrosis boleh dikategorikan sebagai penyakit peluh berlebihan. Sehingga ke hari ini, punca yang tepat tentang penyakit ini masih belum dapat dikenalpasti oleh pakar perubatan.
PENGAKUAN EKSKLUSIF
Ya.. saya pengidap hiperhidrosis. Walaupun tidak pernah membuat sebarang pemeriksaan, tetapi saya cukup yakin yang saya merupakan salah seorang daripada mangsa penyakit tersebut. Saya tidak tahu sejak bila. Tapi seingat saya, semasa tadika lagi saya telah mengalami masalah-masalah yang disebabkan oleh penyakit ini. Namun sehingga sekarang, masalah itu masih belum selesai dan sering menghantui hidup saya.
Bagi pesakit ini, perpeluhan yang berlebihan berlaku di tapak tangan (disebut palmar hyperhydrosis), ketiak (axillary hiperhydrosis) dan tapak kaki (plantar hyperhydrosis). Tetapi untuk kes saya, saya masih dikira bernasib baik kerana tidak mengalami axillary hiperhidrosis iaitu berpeluh secara berlebihan di ketiak hingga menyebabkan body odour (bau badan) yang teruk.
Banyak sekali perkara atau situasi yang terpaksa pesakit hyperhidrosis terpaksa lalui yang mana kesukaran kami tidak disedari oleh manusia-manusia normal di luar sana.
Setiap kali exam, saya kena bersedia dengan sepaket tisu. Tisu paket 30sen tu memang tak boleh saya guna. Memang lunyai kalau guna tisu nipis sebegitu. Jadi, pilihan saya adalah tisu Royal Gold yang tebal (3layer) dan lembut (bak sutera). Jadi, lambat sikit tisu nak hancur. Tisu ini akan saya gunakan untuk melapik tangan yang berair bak air paip SYABAS sewaktu menjawab soalan exam. Sebab kalau saya tak buat begitu, kertas jawapan saya akan koyak akibat basah lencun. Dah pernah jadi waktu sekolah rendah. =(
Dari kecik, saya selalu kena marah dengan cikgu. Sebabnya buku latihan saya comot. Dia kata saya tak pandai jaga buku. Salah saya ke jika peluh yang merembes keluar dari tangan saya ini tidak dapat saya kawal??
Dan buat pengetahuan semua juga, saya sangat benci + anti pen dakwat basah. Saya tak akan guna pen sebegini kerana dakwatnya nanti sudah pasti akan bersepai di atas kertas.Sedangkan menulis dengan pen biasa pun akan menyebabkan tangan saya penuh dengan kesan-kesan dakwat.. ALAHAI..
Waktu zaman kecik-kecik dulu, saya selalu pecahkan pinggan atau cawan. Sebabnya, tangan saya licin. Air-air jernih di tangan saya ini akan semakin banyak bagaikan dicelup ke dalam agar-agar panas bila mana saya nervous, takut, gementar (sama la tuh) , over excited (terlebih gembira) ataupun sedih..Jadi, bila ada yang menegur bila saya bawa cawan memang cari nahas!! Tapi mujurlah bila makin besar, kes barang kaca pecah dah tak berlaku lagi. Saya dah makin pandai nak hadapinya.
Kes lain tentang barangan eletrik. Kalau setakat kejutan elektrik yg kecik-kecik ni, saya dah biasa kena. Yela kan.. Tangan sentiasa basah. Dah lap pun tetap basah jugak. Mana tak disambarnya.. huhu
Banyak lagi kes-kes lain yang bersangkutan dengan tangan basah saya ni. Bila menaip, keyboard saya akan basah. Bila bercakap telefon, h/p saya akan berair macam baru lepas jatuh dalam sungai (terutamanya bila bercakap melebihi 2minit ataupun bercakap dengan mereka-mereka yang boleh buat jantung saya berdegup deras).
Lagi situasi yang saya tak boleh lupa adalah apabila kena marah atau kena herdik waku amek cap jari. Tak kira la sama ada nak cop cari jari ke ataupun nak detect cap cari guna alat pengesan cap jari. Diaorang hanya pandai memarahi dan mengarah supaya saya mengelap jari terlebih dahulu menggunakan tisu. Bila saya sudah lap tapi jari masih basah, mereka mengherdik saya dengan kasar. "Awak dah lap ke tangan tu?? Lap lah betul-betul. Jangan main-main. Ramai lagi orang lain tengah beratur tu. Consider la sikit!" Tapi persoalannya adakah mereka consider tentang situasi saya?? Walhal mereka sudah nampak yang saya mengelap tangan dengan bersungguh-sungguh sekali. Salah saya jugak ker??
Itu baru kes tapak tangan basah.. tak masuk bab tapak kaki basah lagi.. huhu
Saya mengalami masalah untuk membeli kasut dan selipar. Sepatu dari VINCCI memang tak akan pernah jadi pilihan sebab kesemuanya materialnya adalah licin. Kasut dari baldu pun tak sesuai dengan saya sebab ia hanya akan menyerap peluh dan meninggalkan bau hapak. Yang paling ngam ngan saya adalah wedges.Sebab high heels boleh buat saya tersembam akibat licin. Selipar tanpa tumit pulak akan buatkan selipar tertinggal ke belakang bila berjalan.. hoho
Pernah 3 atau 4 kali saya terjelepok ke lantai di bilik air asrama kerana sandal mandi atau selipar jepun licin. ADOI.. perit la jugak.
Kalau terjatuh atau nak terjatuh kat mana-mana pun saya tak heran. Sebab kaki saya memang licin.. Apa boleh buat?? Cuma saya ada terbaca yang penyakit hiperhidrosis ini adalah penyakit keturunan. Tetapi yang peliknya, hanya seorang sahaja dalam keluarga yang mempunyai masalah begini. Ayoyo!!
Kaedah rawatan
Saya ada bertanya pada pakcik google tentang penyakit ini. Dan setakat yang pakcik google beritahu pada saya, ada beberapa cara untuk merawatnya.
Ia termasuklah penggunaan ubat sapu antiperspirant, pil antikolinergik dan iontophoresis. Namun kesannya tidak menyeluruh dan hanya berkesan pada sebilangan kecil pesakit sahaja.
Begitu juga dengan kaedah suntikan botulinum (BOTOX) , walaupun berjaya untuk merawat pesakit tetapi biasanya ia adalah sementara. Pesakit memerlukan rawatan yang berulang-ulang kali setiap 3 ke 6 bulan.
Rawatan pembedahan lubang kunci (key-hole surgery) iaitu Endoscopic TransThoracoscopic Symphatectomy (ETS) adalah rawatan terkini yang menarik perhatian saya. Keberkesanannya sehingga 98%
dengan kesan sampingan yang sangat kecil. Di antara kesan sampingan yang dilaporkan adalah termasuk kerosakan saraf frenik, saraf brachial plexus, Sindrom Horner, pendarahan ruang paru-paru dan pneumothoraks. Tetapi, kesemua komplikasi tersebut adalah sangat kecil iaitu pada kadar 1%.
Komplikasi yang paling kerap terjadi ialah perpeluhan di tempat lain iaitu pada kadar 40%. Pesakit biasanya mengadu berpeluh di bahagian badan dan peha selepas pembedahan. Komplikasi ini boleh bersifat kekal atau sementara. Tetapi pada saya, 40% lebih baik dari 100% yang sedang saya hadapi sekarang.
Pembedahan ETS dilakukan selepas pesakit dibius sepenuhnya (general anesthesia). Melalui ETS, dua lubang kecil berukuran 0.5cm akan dibuat di bawah ketiak pesakit. Doktor kemudiannya akan memasukkan tiub yang mempunyai penyuluh pada hujungnya menerusi salah satu lubang manakala lubang yang satu lagi dimasukkan dengan alat pembedahan. Tiub berlampu tersebut disambungkan ke skrin komputer yang digunakan oleh doktor pakar untuk melihat ke dalam tubuh pesakit bagi melakukan pembedahan.
Sebaik dikenalpasti, beberapa sentimeter urat saraf simpatetik terbabit akan dipotong. Lagi, pembedahan mungkin dilakukan di kedua-dua belah ketiak (kanan dan kiri) jika perlu.
Keseluruhan prosedur pembedahan mengambil masa lebih kurang satu jam. Manakala pesakit yang telah dibedah hanya perlu berada di hospital untuk jangka masa yang singkat iaitu 2-4 hari.
Parut pembedahan yang ditinggalkan juga sangat kecil, tidak mencacatkan dan terlindung di bawah ketiak. Faktor ini lazimnya menjadi keutamaan pesakit terutamanya wanita seperti saya.
Setakat yang saya jumpa, kos pembedahan ETS adaalah sekitar RM10,000 di hospital swasta. Jika dilakukan di hospital kerajaan, kosnya lebih rendah berikutan subsidi tanggungan subsidi oleh kerajaan. Ada yang telah berjaya mendapatkan subsidi sehingga RM8,000, jadi hanya perlu menampung kos RM2,000 sahaja lagi. Tetapi, tanggungan subsidi oleh kerajaan adalah berbeza bagi setiap individu bergantung kepada status dan tahap pesakit.
Hospital UKM adalah satu-satunya hospital kerajaan yang diketahui oleh saya menjalankan pembedahan ETS setakat ini. Di sini saya sertakan alamat dan nombor telefon bagi kemudahan sesiapa selain saya yang mahu mendapatkan maklumat lanjut mengenai pembedahan ini.
Hospital UKM,
Jalan Ya'akob Latif,
Bandar Tun Razak,
56000 Cheras,
Kuala Lumpur, Malaysia.
Tel: 603-9145 5555
Fax: 603-9172 4530
Saya tahu saya masih belajar. Dan mana mungkin saya dapat menanggung sendiri kos pembedahan tersebut. Keluarga mungkin boleh membantu tetapi saya tidah mahu membebankan mereka. Biarlah saya berusaha mengumpul sendiri wang tersebut. Malahan, penyakit ini tidak akan membahayakan kesihatan saya. Insya-Allah, suatu hari nanti saya pasti akan dapatkan rawatan untuk penyakit misteri ini.
"Selepas pembedahan, lazimnya perkara pertama yang dilakukan pesakit ialah menyentuh tangan sendiri. Mereka teruja dan hampir tidak percaya, tangan yang selama ini basah bertukar kering dan terasa lebih hangat, buat pertama kalinya seumur hidup mereka."
Semoga saya juga bakal merasai detik-detik indah begitu sebagaimana mereka. AMINN.
Jika ada yang senasib dengan saya sedang membaca artikel ini, nasihat saya jangan sesekali merendah diri. Bukan anda seorang sahaja mengalaminya. Ramai lagi yang senasib dengan anda. Kongsikan pengalaman anda dan dapatkan info-info berguna bersama mereka yang senasib dengan anda di www.wethandsclub.com.
p/s: Saya sedang mencuba untuk tidak mengunakan sebarang ringkasan lagi untuk artikel-artikel saya. Maaf jika artikel ini terlalu panjang.